Tarikh Keputusan: 04/07/2004

Negari : Kelantan

KEPUTUSAN

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 4 Julai 2004 telah membincangkan mengenai pembuangan dan pelupusan tisu-tisu manusia daripada pesakit. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:

  • 1) Bahawa organ-organ dan tisu-tisu yang dibuang dan dipotong daripada badan pesakit samada daripada pesakit Islam atau bukan Islam hendaklah ditanam. Sekiranya organ-organ atau tisu-tisu tersebut terdiri daripada kumpulan penyakit berjangkit maka pihak hospital hendaklah menghapuskan kuman penyakit berjangkit tersebut dengan ubat-ubat tertentu kemudian hendaklah ditanam organ-organ atau tisu-tisu tersebut. Sekiranya tiada cara atau kaedah untuk menghapuskan kuman penyakit tersebut, maka diharuskan organ-organ atau tisu-tisu ini dibakar kerana dharurat. 
  • 2) Cara untuk menanam organ-organ atau tisu-tisu daripada pesakit adalah seperti berikut : i. Bagi organ-organ atau tisu-tisu yang dibuang daripada pesakit yang masih hidup, organ-organ dan tisu-tisu itu hendaklah ditanam di tempat-tempat yang selamat. ii. Bagi organ-organ atau tisu-tisu yang dibuang daripada pesakit selepas meninggal dunia, organ-organ atau tisu-tisu itu hendaklah ditanam bersama-sama mayat dan lebih afdhal dengan diletakkan di dalam kain kafan. 
  • 3) Mana-mana pihak samada pihak hospital atau keluarga pesakit boleh menanam organ-organ atau tisu-tisu yang dibuang daripada pesakit setelah pihak hospital mengesahkan organ-organ atau tisu-tisu tersebut selamat untuk ditanam.

Pautan Pantas