Negara Asal: Malaysia

Tarikh Isu: 23/12/1996

Tahun: 1996

Pengarang: Datuk Haji Anis Haji Abot

Rujukan: Pejabat Mufti Negeri Sarawak

Diwartakan: 1hb Januari 1997

Soalan

Pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberikan kepada Majlis Islam Sarawak oleh subseksyen (3) seksyen 38 Ordinan Majlis Islam (Pemerbadanan), Majlis telah, melalui Jawatankuasa Fatwa yang telah sebulat suara meluluskan satu fatwa dan berikutan dengan itu Pengerusi Jawatankuasa itu, yang bertindak bagi pihak dan atas nama Majlis, telah mengeluarkan fatwa itu mengikut subseksyen (2) seksyen 37 Ordinan itu, membuat Pemberitahuan yang berikut:

1. Pemberitahuan ini bolehlah dinamakan Pemberitahuan Majlis Islam (Fatwa Mengenai Pemindahan Kubur Orang Islam), 1996, dan hendaklah mula berkuatkuasa pada 1 haribulan Januari 1997.

2 .Fatwa yang berikut mengenai pemindahan kubur orang Islam hendaklah terpakai bagi, dan terikat kepada, semua orang Islam di Sarawak

Jawapan:

“Bahawa mayat orang Islam boleh digali dan/atau dipindahkan kalau didapati sah mayat itu dikebumikan:

  • (a) Di tanah perkuburan orang bukan Islam; 
  • (b) Tanpa dimandikan; 
  • (c) Dengan tidak menghadap kiblat; 
  • (d) Dengan dikapankan dengan kain yang dirampas; 
  • (e) Bersama dengan harta orang lain dan harta tersebut dituntut oleh empunya; 
  • (f) Di tanah kepunyaan orang lain tanpa izin; 
  • (g) Di tanah yang dikhuatiri susut atau hakis seperti di tebing sungai atau lereng bukit; 
  • (h) Di tanah yang akan dimajukan oleh pihak yang berkuasa untuk maslahat umum seperti membuat jalan raya; 
  • (i) Di tanah Lumpur yang dicap air; atau 
  • (j) Bersama mayat lain, yang menyebabkan hati warisnya tidak senang

Pautan Pantas