KEPUTUSAN

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 - 6 April 2006 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kaedah Autopsi Maya Sebagai Alternatif Kepada Bedah Siasat Mayat. Muzakarah telah memutuskan bahawa Penggunaan kaedah Autopsi Maya (Virtual Autopsy) dalam bedah siasat mayat jika memenuhi keperluan, wajib diberi keutamaan berbanding kaedah bedah siasat yang diamalkan sekarang.

Keterangan/Hujah:

  • Kaedah ini merupakan kaedah teknologi pengimejan yang biasanya dilakukan ke atas pesakit hidup sebagai salah satu prosedur pemeriksaan atau mengesan suatu penyakit seperti ketumbuhan, kanser dan sebagainya. Kaedah yang sama boleh lakukan ke atas mayat yang bertujuan mengenalpasti punca kematian tanpa menyentuh mayat tersebut.
  • Autopsi Maya mempunyai kelebihan terutama dalam menyiasat kes-kes jenayah yang memerlukan bukti asal pada tubuh mayat tanpa sebarang perubahan atau tercemar disebabkan prosedur pembedahan klasik yang diamalkan sekarang.
  • Kombinasi sistem 3-D Computed Tomography (CT) dan teknik Imejan Resonans Magnetik atau magnetic resonance imaging (MRI) yang dibangunkan ini dikenali sebagai “Virtopsy”. Ia menggunakan 7.0-Tesla magnet ke atas mayat berbanding 1.5 atau 3.0-Tesla magnet yang digunakan ke atas pesakit hidup. Kadar radiasi tinggi yang digunakan ke atas mayat membolehkan imej yang dihasilkan lebih bermutu. Imej yang dihasilkan dari kaedah ini membolehkan mayat diperiksa dari pelbagai sudut yang dikehendaki tanpa memusnahkan bukti-bukti forensik yang diperlukan. Malah penelitian, pengamatan dan pemeriksaan ini boleh dilakukan secara terperinci dengan melakukan pemotongan secara maya dan boleh disaksikan berulang-ulang kali. Ini adalah di antara kelebihan autopsi digital berbanding dengan autopsi klasik yang mempunyai beberapa limitasi seperti masalah pemerhatian tunggal yang hanya terhad kepada pakar forensik yang terlibat dengan bedah siasat dan pembentukan semula organ atau tisu yang diawet yang mungkin merubah bukti forensik. 
  • Islam mengajar agar umatnya memuliakan orang-orang yang telah meninggal dunia (Melakukan kemudharatan yang boleh mencacatkan secara fizikal orang yang telah meninggal merupakan satu penganiayaan dan pencerobohan ke atas maruah serta kehormatan mayat). Oleh itu, autopsi terutama autopsi klasik adalah satu bidang medikal yang dianggap sensitif bukan sahaja dari segi agama tetapi juga oleh budaya masyarakat negara ini. 
  • Islam berpegang kepada prinsip bahawa jasad seorang yang telah meninggal dunia tetap mempunyai kemuliaan, nilai dan hak kemanusiaan yang wajib dihormati dan dipelihara sepertimana orang yang masih hidup. 
  • Hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang melarang Menyakiti Mayat: 
  • a.hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Imam Ahmad yang bermaksud : Daripada Saidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Memecahkan (mematahkan) tulang mayat sama seperti memecahkannya (mematahkannya) sewaktu hidupnya”. 
  • b. Hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Umm Salamah r.a yang bermaksud : “Memecahkan (mematahkan) tulang mayat sama seperti memecahkannya (mematahkannya) sewaktu hidupnya dari segi dosanya ”. 
  • Berdasarkan kepada keupayaan dunia perubatan semasa, kebanyakan ulama’ di seluruh dunia Islam mengharuskan bedah siasat mayat dalam keadaan dharurat. Jumhur fuqaha’ kecuali Mazhab Hanbali berpandangan bahawa harus membedah mayat ibu hamil demi menyelamatkan nyawa bayi yang dipercayai masih hidup dalam kandungan. 
  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali ke-8 yang telah bersidang pada 24- 25 September 1984 telah membincang mengenai hukum bedah siasat dan memutuskan bahawa “Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang sangat berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan anaknya dalam kandungan masih hidup”, dan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan bahawa “Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan”. 
  • Menyiksa mayat memang diharamkan oleh Islam. Sekiranya ada kaedah lain dalam bedah siasat mayat yang lebih baik, kaedah tersebut elok digunakan.Penemuan kaedah Autopsi Maya sekiranya setanding dengan kaedah bedah siasat mayat atau post-mortem sedia ada, memberi gambaran bahawa bedah siasat bukan lagi satu-satunya prosedur yang boleh digunakan untuk mencari punca kematian, mengkaji penyakit atau tujuan pembelajaran. Ini bermakna autopsi klasik bukan lagi dharurat. Jika Autopsi Maya diterima sebagai alternatif atau pelangkap kepada bedah siasat mayat sedia ada, kaedah ini sepatutnya menjadi keutamaan.

Pautan Pantas